Hasanah telah ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 5 petang, 28 Ogos lalu dan direman selama lima hari memfailkan saman pemula itu melalui firma guaman, Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co. pada 30 Ogos lalu.

Sepanjang tempoh reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu, Hasanah selaku pihak pemohon menyatakan, dia tidak dibenarkan berunding dengan peguambelanya kerana SPRM yang dinamakan sebagai responden pertama telah mengeluarkan satu surat pemberitahuan bahawa hak untuk berunding dengan peguam disekat di bawah Seksyen 28A(8) dan (9).

Walhal undang-undang ada memperuntukkan, selagi rundingan dengan peguam belum sempat dibuat, soal jawab antara SPRM dengan pihak pemohon tidak boleh bermula.

Oleh itu pihak pemohon menyatakan, Seksyen 28A(8) dan (9) adalah peruntukan drastik yang bercanggah dengan Fasal 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan dan mencabul hak asasinya.

Sehubungan itu, pihak pemohon memohon mendapatkan perlindungan undang-undang dengan segera bagi memastikan dirinya mendapat hak untuk berunding dengan peguam di bawah Fasal 5(3) dan Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak pemohon sehubungan itu memohon perisytiharan bahawa seksyen tersebut tidak sah, batal, tiada kesan dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadapnya.

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah memberitahu pemberita, Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika pengurusan kes buat kali pertama hari ini di kamar hakim menetapkan 24 September ini untuk mendengar permohonan pihak pemohon.

Selain SPRM, Hasanah turut menamakan Kerajaan Malaysia sebagai responden kedua. Kedua-dua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Norzilati Izhani Zainal @ Zainul. - UTUSAN ONLINE