HARUSSANI

Menurut beli­au, ke­putusan itu menunjukkan kerajaan menerima teguran beliau kerana cadangan pindaan akta tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan hukum syarak serta dianggap mem­perlekehkan dan menghina Islam.

“Saya menerima panggilan telefon daripada menteri yang berkenaan sendiri hari ini mengenai pembentangan Pindaan Akta 164 ditangguhkan. Saya bersyu­kur dan berterima kasih kepada kerajaan dengan keputusan ini. Buatlah macam mana pun asalkan cadangan pembentangannya ditarik dan dikaji dahulu.

“Keputusan ini bermakna apabila kerajaan ditegur, ia bermaksud masih banyak yang tidak cukup untuk akta ini dipinda, jadi kena kaji betul-betul cadangan pindaan­nya,” kata beliau ketika ditemui di sini hari ini.

Timbalan Perda­na Menteri, Datuk Seri Dr. Ah­mad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pindaan Akta 164 ditangguhkan daripada di­bentang pada sidang Dewan Rakyat sesi kali ini.

Menurutnya, Akta 164 itu akan diserahkan kepada Peguam Ne­gara untuk membuat penelitian semula selain mendapatkan maklum balas da­ripada pelbagai pihak termasuk ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar-pakar agama.

Katanya, ini untuk memastikan ia tidak bercanggah dengan fatwa dan Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, Harussani menggesa kerajaan menangguhkan pindaan Akta 164 itu kerana ada pindaannya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan hukum syarak serta dianggap memperlekehkan dan menghina Islam.