Kata beliau, cadangan itu adalah untuk membantu perkembangan industri harumanis negara, terutama di Perlis.

Salahuddin berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menubuhkan satu unit khas bagi memasarkan produk ikon Perlis itu ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk mempromosikan musim buah-buahan Malaysia sebagai antara produk pelancongan negara.

Salahuddin berkata demikian pada sesi dialog sempena Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani peringkat negeri Perlis di Kompleks Pertanian Bukit Temiang di sini hari ini.

Terdahulu, semasa berucap merasmikan majlis itu, Salahuddin berkata usaha perlu dipergiat untuk mencari tanaman alternatif yang boleh dikomersialkan untuk tempoh jangka panjang bagi menggantikan getah dan kelapa sawit,.

Katanya ini kerana ketidakstabilan harga kedua-dua komoditi itu telah menjejaskan kehidupan para pengusaha serta memaksa kerajaan memberi subsidi agar kedua-dua industri terus hidup dan memberi pulangan setimpal.

"Pada masa inipun, kita menghadapi cabaran dan persaingan negara pengeluar kacang soya yang berusaha merosakkan industri kelapa sawit dengan memburukkan minyak sawit dan penerokaan hutan.

"Justeru, untuk jangka panjang adalah bahaya jika kita berterusan bergantung kepada hasil kelapa sawit dan getah," katanya yang menambah, tanaman baharu yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi hendaklah ditanam dengan lebih meluas, namun, kajian mendalam perlulah dilaksanakan terlebih dahulu.

"Di peringkat kementerian, kami berusaha memperkasakan agensi-agensi yang berkait rapat dengan petani dan peladang seperti NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan), LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) dan PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) supaya dapat menjadi payung kepada golongan itu.

Beliau turut mencadangkan agar petani yang memiliki tanah yang kecil-kecil supaya bergabung di bawah satu pengurusan untuk mengusahakan tanaman secara besar-besaran bagi memaksimumkan hasil dan pendapatan.

Sementara itu, beliau berkata kementerian telah menerima 5,000 permohonan baharu lesen nelayan dan berharap pihak-pihak yang menyokong permohonan tersebut terutama ketua-ketua kampung supaya jujur dalam mengesahkan butir-butir pemohon.

Pada majlis itu, Salahuddin turut menyampaikan replika cek RM1 juta kepada Pengurusan Kluster Harumanis Perlis manakala RM57,000 sebagai insentif kepada Agropreneur Muda MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda).- BERNAMA