Hamim Samuri

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) menerusi Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP) di bawah kementerian itu merekodkan kira-kira RM60 bilion jumlah harta yang tidak dituntut oleh waris si mati sejak tahun 1950-an hingga kini.

Menurutnya, situasi tersebut berlaku kerana sikap tidak prihatin dan 'acuh tak acuh' masyarakat untuk mengambil tahu dan menyegerakan urusan pusaka sehingga menyebabkan permohonan pembahagian harta tersebut dilengah-lengahkan.

“Sikap tidak mahu ambil tahu prosedur yang perlu dilalui atau agensi mana yang sepatutnya menguruskan urusan pembahagian harta pusaka juga sering menjadi faktor penangguhan dalam kalangan waris untuk membuat permohonan.

“Ada juga yang anggap proses memohon pembahagian harta ini lambat, mahal dan menyusahkan sehingga menyebabkan harta si mati dibekukan, tanah menjadi terbiar dan tidak terurus dan paling mustahak status pemilikan tidak rasmi boleh mengakibatkan isu termakan harta yang bukan hak atau harta anak yatim,” katanya semasa merasmikan forum dan taklimat berhubung pengurusan harta pusaka kecil, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; Ketua Pengarah JKPTG, Datuk Dr. Sallehuddin Ishak dan Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Pemetaan kementerian berkenaan, Che Roslan Che Daud.

Selain JKPTG yang bertanggungjawab menguruskan permohonan pembahagian harta pusaka kecil, dua agensi lain yang berkaitan dalam urusan itu adalah mahkamah tinggi bagi harta pusaka besar dan Amanah Raya Bhd. untuk harta pusaka ringkas.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, berdasarkan statistik ketiga-tiga agensi itu, hampir 75 peratus pembahagian harta pusaka di negara ini diuruskan oleh JKPTG yang mempunyai 36 Unit Pembahagian Pusaka di seluruh negara dengan setiap satunya bertanggungjawab menguruskan permohonan untuk dua hingga empat daerah.

“Perkhidmatan itu dibuat berdasarkan peruntukan perundangan yang bertujuan membantu orang ramai mengurus harta pusaka tanpa perlu ke mahkamah. Malah, prosedur yang ditetapkan di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) dan peraturan-peraturannya adalah menggunakan borang yang lebih mudah dan boleh diurus sendiri oleh waris si mati,” katanya.