Pelantikan Harjinder, 59, yang merupakan bekas Penolong Pengarah Siasatan Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA), Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara Bukit Aman itu menggantikan Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusuf yang memulakan tugasnya sebagai Penolong Pengarah Risikan JSJK Bukit Aman. 

Penyerahan tugas itu dilakukan Nor Azman kepada Harjinder dan disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor. 

Sementara itu, Mazlan ketika berucap dalam majlis serah tugas berkenaan mengalu-alukan perubahan dalam struktur kepimpinan polis di negeri ini selain mengingatkan seluruh warganya supaya mengambil serius terhadap aduan serta pandangan daripada masyarakat dalam kes-kes tertentu. 

"Aduan serta pandangan rakyat yang dibuat sama ada secara rasmi atau melalui media sosial sedikit sebanyak boleh memberi implikasi negatif terhadap imej PDRM. 

"JSJK sebagai contoh merupakan salah satu jabatan yang amat penting yang mengendalikan siasatan melibatkan jenayah komersial. Ada kalanya masyarakat mempersoalkan tahap tindakan dan siasatan kita sehingga ianya menimbulkan tohmahan yang mana keadaan ini harus kita elak serta tangani sebaik mungkin," ujarnya. - UTUSAN ONLINE