Program yang berakhir esok itu dan dijangka menarik kehadiran 10,000 pengunjung termasuk pencari pekerjaan telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Mengulas penganjuran program berkenaan, Abdul Rahman berkata, SL1M merupakan inisiatif kerajaan untuk memastikan para belia mendapat latihan yang mencukupi dan membuka peluang lebih luas kepada mereka untuk mendapatkan kerja.

“Program jelajah SL1M selama tujuh tahun berturut-turut telah memanfaatkan semua pihak khususnya golongan belia mendapatkan pekerjaan dan kita difahamkan sebanyak 140,000 orang berjaya dilatih dalam tempoh tersebut di seluruh negara.

“Pada tahun depan, kita mensasarkan seramai 25,000 graduan akan dibantu berbanding sasaran 20,000 pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di program berkenaan.

Yang turut hadir, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail; Pengarah ILP Kota Kinabalu, Mustal Makmud dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya berkenaan Bajet 2018, Abdul Rahman berkata, kerjasama erat di antara Kerajaan Pusat dan negeri telah memastikan kepentingan rakyat Sabah diutamakan melalui peruntukan yang disalurkan.

Menurutnya, perkara itu jelas terbukti dalam Bajet 2018 apabila Sabah memperolehi agihan peruntukan paling tinggi untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri itu.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana walapun Sabah jauh di mata tetapi tetap dekat di hati, pembangunan dan kebajikan rakyat negeri ini sentiasa menjadi keutamaan.

“Dengan ini kita yakin bahawa kerjasama kuat itu akan diteruskan lagi untuk memastikan kelangsungan projek pembangunan dapat dilaksanakan seperti dirancang,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE