Lebih 25,000 rakyat dari seluruh negeri serta yang datang dari Sarawak dan Semenanjung tidak melepaskan peluang menyambut hari bersejarah itu yang dimeterai 54 tahun lalu dan menjadi asas kepada pembangunan negara sehingga kini.

Meskipun sambutan tersebut bermula pukul 8 malam, orang ramai telah membanjiri kawasan stadium seawal pukul 6 petang untuk melihat pelbagai pameran yang memaparkan sejarah pembentukan negara oleh agensi kerajaan serta bermacam-macam lagi aktiviti menarik.

Sambutan berkenaan bermula secara rasmi dengan ketibaan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis serta Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang ditemani isterinya, Puan Sri Faridah Tussin.

Yang hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; barisan menteri-menteri Kabinet Pusat dan Kabinet Sabah serta Sarawak.

Semangat patriotik dalam kalangan rakyat terserlah apabila lagu Negaraku dinyanyikan de­ngan penuh semangat ketika Jalur Gemilang dinaikkan disusuli lagu Sabah Tanah Airku di­iringi muzik yang dimainkan khas oleh pancaragam Polis Diraja Malaysia sebelum persembahan 'Selamat Datang' oleh 1,000 peserta daripada pelbagai etnik seluruh negara.

Perdana Menteri bersama Ke­tua Menteri kemudiannya bersama-sama menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2017, di­ikuti acara memotong kek Hari Malaysia berlogokan Negaraku Sehati Sejiwa oleh Juhar sambil disaksikan Najib, Musa bersama kenamaan lain.

Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan lagu patriotik oleh penyanyi seperti Ella dan artis tempatan antaranya Rosario Bianis, Francis Landong dan banyak lagi.

Sementara itu, Najib ketika berucap sempena sambutan tersebut berkata, Hari Malaysia adalah simbolik kepada kejayaan Malaysia berubah daripada sebuah negara pertanian menjadi negara yang kini unggul dan dihormati di seluruh dunia.

"Apabila kita sambut Hari Malaysia kita boleh melihat bagaimana dahulu siapa kenal Malaysia sekadar negara pertanian, bila­ngan penduduknya tidak besar.

"Tetapi hari ini negara kita berjaya mendapat sambutan dan penghormatan oleh pemimpin dunia termasuk terkini Pre­siden Amerika Syarikat (Donald J. Trump) sendiri kerana melihat Malaysia sebagai sebuah negara berjaya," kata beliau.

Tambahnya, sejak pembentukan Malaysia, Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan Sabah dan Sarawak, malah selepas ini lebih banyak hak rakyat kedua-dua negeri itu akan ditunaikan.

"Jadi janganlah buat slogan Sabah untuk Sabahan atau Sarawak untuk Sarawakian tetapi kita maju bersama dan kita akan buat keputusan tidak lama lagi untuk agih apa hak Sabah apa hak Semenanjung," tegasnya.