Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorty berkata, paling penting, hari tersebut diharap dapat memupuk perpaduan dan mengeratkan lagi hubungan rakyat di negara ini.

Perkara itu katanya, masih di peringkat perbincangan dan dijangka dapat dilaksanakan seawal-awalnya Mac tahun depan.

“Sejak menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya sering memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan Hari Kepelbagaian Budaya adalah langkah terbaik supaya setiap kaum dapat mengetengahkan budaya masing-masing untuk ditunjukkan kepada semua.

“Sebagai contoh Tarian Asyik dan Rebana Kerching yang saya saksikan di Kelantan. Kita mahu ia diketengah dan diperlihat di seluruh negara, “ katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Explorasi Perpaduan Merdeka Peringkat Kelantan 2018 di Pantai Sri Tujuh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri, Norwahidah Zinalibdin.

Dalam pada itu, Waytha Moorthy berkata, Kelantan merupakan sebuah negeri yang patut dijadikan model kepada negeri-negeri lain dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

“Kelantan memang unik, tidak kira kaum apa, mereka semua mampu bercakap dialek Kelantan dengan baik. Ketika saya bersarapan di Kopitiam Kita pagi ini, saya kagum melihat 80 peratus pengunjung orang Melayu walaupun pemilik restorannya adalah Cina.

“Rakyat disatukan menerusi makanan di Kelantan dan suasana itu jauh berbeza di negeri Pantai Barat, jika masuk kedai India hanya orang India sahaja dalam premis, begitu juga kedai Cina hanya orang Cina yang masuk,” katanya. - UTUSAN ONLINE