Hari Hasanah yang berlangsung di perkarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini, julung kali diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di bawah kempen ‘Negaraku, Negara Kita’ anjuran Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Program itu dianjurkan untuk meraikan pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, dengan aktiviti utamanya melakukan amal kebajikan demi manfaat segenap lapisan masyarakat.

Program yang diterajui Yayasan Hasanah, sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah itu turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Khazanah, Khazanah Research Institute, Think City dan rakan strategik mereka.

Pada hari tersebut, kakitangan Khazanah dan lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) yang merupakan rakan kongsi Khazanah telah berpadu tenaga untuk berbudi kepada masyarakat dengan me­nganjurkan pelbagai aktiviti seperti bengkel kesihatan, bengkel seni kanak-kanak, kraftangan, demo masakan, sesi animasi dan menyediakan perkhidmatan seperti khidmat nasihat peguam, kaunseling keluarga dan ceramah kerjaya.

Suasana lebih meriah dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut meluangkan masa untuk bersama-sama penduduk dan pengunjung meraikan Hari Hasanah.

Pada masa sama, Perdana Menteri telah melancarkan dua gelanggang futsal iaitu Gelanggang Futsal Cruyff Court PPR Seri Semarak dan Gelanggang Futsal Cruyff Court PPR Kampung Baru Air Panas yang disumbangkan oleh Yayasan Hasanah dan Yayasan Johan Cruyff demi memberi kemudahan kepada para belia menjalani aktiviti sukan.

Dua gelanggang futsal tersebut merupakan yang ketiga dan keempat dibina di negara ini oleh Yayasan Hasanah. Sebelum ini, Yayasan Hasanah telah membina gelanggang futsal di Kampung Melayu Majidee, Johor Bharu pada 2012 dan Brickfields di sini pada 2013.

Rata-rata NGO yang mengambil bahagian pada Hari Hasanah itu berpendapat penganjuran program tersebut adalah satu pendekatan terbaik dalam me­nyatukan rak­yat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu me­lakukan amal kebajikan demi manfaat orang lain selain memupuk se­mangat perpaduan dalam kala­ngan masyarakat berbilang bangsa dan budaya di negara ini.

Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Datuk Dr. Raj Abdul Karim berkata, masyarakat juga perlu menggunakan peluang tersebut untuk mengambil tahu peranan dan usa­ha yang dilakukan oleh Yayasan Hasanah serta NGO-NGO terbabit kerana semua yang terlibat sebenarnya menjalankan aktiviti untuk membantu komuniti dalam pelbagai bidang.

“Program ini cukup menyeluruh kerana ia mengambil kira keperluan masyarakat daripada semua aspek termasuk kesihatan, pendidikan, alam sekitar dan pembangunan komuniti.

“Masyarakat perlu me­ngambil peluang ini dan bersikap terbuka untuk berterus-terang tentang apa yang berlaku di sekitar mereka bagi membolehkan pihak kami membantu mereka sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang program tersebut, MKKM cuba melibatkan penyertaan kanak-kanak untuk mengenal pasti masalah sosial yang dihadapi oleh mereka seperti buli, keganasan rumah tangga dan pemahaman mereka tentang pemerdagangan manusia serta penculikan dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, pandangan golongan dewasa turut diambil kira ter­utama berkaitan keselamatan di PPR Seri Semarak dan kesedaran mereka terhadap masalah sosial yang berlaku di kawasan mereka.

Bagi Pegawai Kerja Sosial, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Vaneezha M, penglibatan WAO di Hari Hasanah adalah untuk membantu meningkatkan kesedaran ma­syarakat tentang keganasan rumah tangga kerana ramai tidak mengetahui bahawa ia sebenarnya adalah satu jenayah.

“Untuk memudahkan lagi pe­mahaman masyarakat terhadap isu ini, kami turut membawa bersama kaunselor dan pegawai kerja sosial bagi berkongsi pengalaman yang kami lalui berkaitan mangsa keganasan rumah tangga, selain menerangkan lebih terperinci tentang bantuan serta khid­mat yang disediakan.

“Kami ingin wanita di luar sana berdiri mempertahankan hak mereka dan cuba dapatkan pertolongan. Mereka sebenarnya bukannya bersendirian. Banyak perkhidmatan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan NGO untuk mereka, malah WAO sendiri bersedia memberi bantuan dari awal hingga semua masalah selesai,” katanya.

WAO merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk menamatkan diskriminasi dan keganasan ter-hadap wanita. WAO juga memberi perkhidmatan intervensi krisis untuk memperkasakan wanita di Malaysia yang memerlukan bantuan.

Setakat ini, WAO mempunyai empat kaunselor dan lima pegawai kerja sosial serta sukarelawan yang bersedia memberi khidmat demi mempertahankan hak-hak wanita dan memperkasakan go­longan itu, tidak kira di mana pun mereka berada.