Kanak-kanak malang itu, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan disahkan meninggal dunia pada Rabu lalu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar selepas terpaksa menanggung penderitaan akibat perbuatan tidak bertanggungjawab disyaki dilakukan oleh lelaki berkenaan sebelum itu.

Sebentar tadi, bapa kanak-kanak itu, Hairil Khan Azali, 32, meluahkan perasaan di laman sosial Facebooknya mengenai kesedihan yang terpaksa ditanggungnya akibat kehilangan anak tersayang yang lebih mesra dipanggil Yat.

"Hari-hari abah datang tengok Yatt, Yatt jangan risau. Hari-hari abah akan datang baca doa di pusara Yatt. Itulah sahaja hadiah abah untuk Yatt.

"Ramai yang doa untuk Yatt. Kalau Yatt tahu mesti Yatt gembira sebab ramai orang sayang dekat Yatt, lagi-lagi abah," luah Hairil dalam status tersebut.

Akhbar hari ini melaporkan Mohamad Rayyan Hidayat meninggal dunia dipercayai didera sehingga pecah usus, patah tulang belakang serta mengalami lembam di seluruh badan oleh teman lelaki ibunya dalam kejadian Rabu lalu.

Berikutan itu, lelaki berkenaan yang berusia 26 tahun yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan ibu kanak-kanak tersebut berusia 31 tahun, ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Jenazah Mohamad Rayyan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Abi Tok Hashim semalam.

Dalam pada itu, Hairil berharap suspek dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan kejamnya itu.

Kata Hairil, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya pada Mac lalu sebelum komunikasi mereka terputus apabila bekas isterinya menghalang mereka dari berhubung. - UTUSAN ONLINE