Untuk memeriahkan sambutan tersebut, NKF turut menganjurkan Hari Terbuka NKF 2019 pada tarikh sama yang akan dilangsungkan di Pusat Sumber NKF-BERJAYA, Petaling Jaya.

Menurut Ketua Pemasaran, Komunikasi dan Dana NKF, K. Shobana, sambutan tersebut akan merangkumi tiga acara utama, iaitu Tarian Kecergasan Bollywood, Saringan Kesihatan dan Ceramah Kesihatan.

“Kami membawakan pakar tarian Bollywood, Kirenjit Singh sebagai pengajar untuk acara tarian kecergasan itu nanti.

“Ini adalah salah satu cara kami untuk mengajak orang ramai beriadah secara sihat dan menyeronokkan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, di sini hari ini.

Sementara itu, bagi acara Saringan Kesihatan, NKF akan menyediakan saringan Indeks Jisim Badan (BMI), tekanan darah, kandungan gula dalam darah, ujian air kencing serta perkhidmatan kaunseling kesihatan percuma kepada pengunjung.

Lebih menarik lagi, dua topik tentang kesihatan buah pinggang iaitu pengenalan kepada batu karang dan ubat-ubatan akan menjadi fokus dalam acara ceramah kesihatan.

“Kami menjemput semua rakyat Malaysia untuk hadir dan bersama-sama meningkatkan kesedaran kita tentang kesihatan buah pinggang dalam sambutan itu nanti,” katanya.