Datuk Lat

Kartunis legenda negara, Datuk Mohammad Nor Khalid lahir atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat merupakan antara lebih 1,000 penduduk yang datang menyaksikan upacara tersebut dan bangga dengan keberangkatan pasangan diraja itu.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Lalang di sini berkata, kawasan ini sering menjadi tempat persinggahan kerabat diraja Perak kerana terdapat makam Bendahara Raja Alang Iskandar.

“Hari ini adalah hari yang istimewa bagi penduduk Kota Bharu, Gopeng kerana Sultan Perak datang menziarahi makam Bendahara Raja Alang Iskandar yang sudah ada di sini sejak 1890-an lagi.

“Semua orang terutama orang di Perak memang mengenali Kota Bharu ini sebagai tempat persinggahan kerabat diraja dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Datuk Lat yang kelihatan begitu gembira sekali dengan keberangkatan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara ke kawasan ini berkata, karya komik terkenalnya, Kampung Boy sendiri mengisahkan kehidupan di kawasan ini.

“Kampung Lalang itu di sinilah tetapi masa itu ramai orang lagi walaupun tidak ada bekalan air, elektrik dan klinik. Sejak awal 1960-an, masuk bekalan air serta elektrik dan klinik pun dibina tetapi orang sudah tidak ada.

“Selepas merdeka, tarikan kemajuan di bandar terlalu kuat, maka ramai berhijrah. Kita ikut ayah kita berhijrah ke bandar kerana ayah kita mahu keluarga kita hidup di tahap lebih baik daripada duduk di tempat lama,” ujarnya sambil memberitahu kini hanya tinggal tiga buah rumah sahaja di Kampung Lalang.

Makam Bendahara Raja Alang Iskandar yang juga dikenali sebagai Marhum Teja merupakan antara dua makam tokoh dan pembesar negeri yang diziarahi Sultan Nazrin semalam sempena pertabalan baginda sebagai Sultan Perak ke-35. Satu lagi makam ialah makam Tok Temong di Kampung Temong Hulu, Kati, dekat Kuala Kangsar.

Bendahara Raja Alang Iskandar yang merupakan ayahanda kepada Sultan Perak ke-28, Almarhum Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah, dilantik sebagai Bendahara semasa pemerintahan Sultan Perak ke-22, Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah I dan Sultan Perak ke-23, Almarhum Sultan Jaafar Muadzam Shah.