Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini sebagai menghayati pengorbanan serta jasa golongan petani dan nelayan yang bekerja keras bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.

Kata beliau, ekspo agromaka­nan terbesar negara itu juga akan menampilkan perbezaan signifikan dengan memberikan platform kepada golongan seni untuk menyampaikan lagu-lagu berkaitan pertanian, alam sekitar dan kemanusiaan.

“Kita perlu bersama-sama memeriahkan MAHA 2016 supaya kita boleh bercakap tentang masa depan negara dan rakyat terutama berhubung sejauh mana kita dapat membekalkan makanan yang mencukupi atau sebagainya.

“Apa yang penting, kita bersama-sama tanpa mengira perbezaan ideologi menghayati pihak yang ‘menyediakan’ makanan ke atas meja kita semasa MAHA 2016 nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Road To MAHA 2016, di sini hari ini.

MAHA 2016 yang akan berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ekspo tersebut dijangka dihadiri kira-kira 3.5 juta pengunjung dan mencatatkan jualan sebanyak RM200 juta.

Bertemakan ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’, MAHA 2016 bakal menampilkan 1,500 gerai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk penyertaan peserta luar negara.

MAHA 2016 memberi fokus kepada pelancongan tani, perdagangan dan gaya hidup agro, inovasi teknologi terkini serta me­nyasarkan peningkatan sebanyak 30 peratus golongan usahawan muda melalui Agro Youth.