Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin

Kesedaran itu antara lain dapat dipupuk dengan mengambil iktibar daripada penderitaan dan kesengsa­raan hidup yang dihadapi oleh masyarakat Rohingya di Myanmar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin berkata, program jera­yawara MyMerdeka yang dianjurkan oleh Jabatan Pe­nerangan Malaysia bersama Mydin, sedikit sebanyak mampu membangkit­kan rasa cinta kepada negara.

“Kalau ikutkan penubuhan Hari Malaysia pa­­da 16 September 1963, ha­ri ini kita meraikan­ ulang tahun yang ke-54. Oleh itu, marilah kita sama-sama membantu me­laksanakan aspirasi dan da­sar kerajaan ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2050.

“Kita tidak seharusnya memburuk-burukkan nega­ra iaitu tempat tumpahnya darah kita. Kita boleh berbeza pandangan dan cara pemikiran tetapi mesti ber­satu hati, sehati sejiwa dalam menjaga nama baik negara.

“Dalam memupuk sema­ngat cinta kasih kepada negara, inilah tanggungja­wab kita paling utama. Tanpa negara yang aman dan sentosa, mana mungkin kita berada dalam kehidupan seperti mana pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan MyMerdeka bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan pe­ringkat negeri yang diadakan di Mydin Meru Raya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Moha­mad Ziad berharap, sam­butan Hari Malaysia yang diraikan pada hari ini sedikit sebanyak banyak dapat memberikan inspirasi kepada rakyat untuk te­rus menjaga ne­gara dengan sebaik-baiknya.

Menurut beliau, tiada sesi­a­pa pun yang boleh memberi keyakinan bahawa Malaysia akan terus aman dan makmur se­lama-lamanya me­lainkan rak­yatnya yang berperanan mempertahankan kemerdekaan.

“Walaupun senario dunia berubah, kita bersyukur ke­rana kerajaan sedia ada sentiasa memikirkan kepen­tingan negara bermula dari Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970an  sehinggalah kepada Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Yakinlah bahawa kerajaan sedia ada adalah yang bertanggungjawab dan sentiasa meletakkan rakyat melebihi segala-galanya. Oleh itu, kita harap segala perancangan untuk generasi akan datang, akan dapat direa­lisasi,” katanya.