Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, anugerah tersebut bertujuan menghargai mereka yang telah berusaha bersungguh-sungguh mentadbir kampung secara muafakat dan cemerlang.

Beliau berkata, penglibatan Kampung Tradisional, Kampung Orang As­li dan Rumah Panjang dalam per­tandingan itu turut menzahirkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepelbagaian corak ke­pemimpinan serta pengurusan kampung-kampung di negara ini.

“Sebanyak 582 kampung tradisional termasuk kampung Orang Asli dan rumah panjang di seluruh negara layak dipertandingkan di peringkat daerah.

“Daripada jumlah itu, 159 kampung bertanding di peringkat nege­ri, manakala peringkat kebangsaan menyaksikan 23 kam­pung dipilih mewakili negeri dalam kategori masing-masing ba­gi me­rebut gelaran kampung dan rumah panjang terbaik 2017,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi pada perasmian Majlis Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Sarawak 2017 oleh Menteri Utiliti negeri, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom di Kompleks Dewan Unda­ngan Negeri (Lama), Petra Jaya, di sini hari ini.

Program ADP yang dilaksanakan sejak 1987 itu pada awalnya dikenali sebagai Pertandi­ngan Kebersihan, Keindahan dan Kemajuan Kampung (PKKK), sebelum ditambah baik dan diberi nama Pertandingan Desa Cemerlang pa­da 2000, Anugerah Desa Cemerlang (2005), Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (2014) dan Anugerah Desa Perdana (2017).

Dalam pertandingan ini, kampung dan rumah panjang yang dicalonkan anugerah kepimpinan daerah dan negeri ini perlu melalui proses penilaian berdasarkan lapan kriteria yang ditetapkan.

Ia meliputi keseluruhan organisasi sesebuah kampung iaitu patriotisme dan kemasyarakatan, kepimpinan dan pentadbiran, pen­didikan dan latihan, ekonomi dan keusahawanan, pemerkasaan peranan belia, teknologi maklumat dan komunikasi, kebersihan, kesihatan dan keceriaan kampung serta pengawasan kemudahan asas kampung.

Ismail Sabri berkata, bagi Sa­rawak difahamkan sebanyak 110 kampung dan rumah panjang te­lah bertanding di peringkat daerah dan 21 kampung lagi di peringkat negeri.

“Pertandingan peringkat kebangsaan akan menyaksikan Sa­rawak diwakili empat kampung terdiri daripada sebuah kampung bagi Kategori Tradisional dan tiga kampung kategori Rumah Panjang, sekali gus mempunyai wakil paling ba­nyak bertanding di pe­ringkat kebangsaan.

“Kemuncak program itu nanti adalah Majlis Penyampaian Anu­gerah Desa Perdana Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 22 Ogos ini di Kuala Lumpur yang bakal disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan sesebuah kampung sangat bergantung kepada kecekapan ke­pemimpinan atau urus tadbir yang diterajui barisan Jawatan­kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kam­pung (JKKK) atau Jawatan­kuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), JKKK Orang Asli dan rumah panjang.

Katanya, hal ini kerana institusi terbabit adalah tunjang dalam menentukan pembangunan kampung dan komuniti luar bandar.

Sejak penubuhannya pada 1962, beliau berkata, peranan dan fungsi JKKK terus relevan sehingga hari ini sebagai ‘mata dan telinga’ serta penghubung antara kerajaan dan rakyat sehingga ke akar umbi.

“Ia juga berperanan sebagai penangkis fitnah oleh pihak luar yang cuba mengugat kestabilan negara,” ujarnya.

Menurut beliau, kementerian bercadang mewujudkan Desa Di­gital dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi menyokong dan meningkatkan sistem penyampai­an perkhidmatan kepada rakyat luar bandar melalui penyediaan jaringan internet jalur lebar yang luas dan stabil.

Katanya, langkah itu bertujuan merangsang pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, menyokong serta memperkukuhkan aktiviti keusahawanan dan perniagaan untuk melon­jakkan ekonomi di luar bandar.