Pengerusi Biro Sosiobudaya Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Zainal Kling berkata, sebelum 1956, sekolah Melayu hanya disediakan untuk peringkat rendah sahaja dan keadaan itu menyebabkan taraf ekonomi kaum Bumiputera sukar untuk ditingkatkan.

Namun begitu, ujar beliau, atas kesedaran mahu melihat anak bangsanya berjaya, Abdul Razak yang pada ketika itu merupakan Menteri Pelajaran mewujudkan sistem pendidikan peringkat me­nengah sehingga menjadi pe­mang­kin kepada penubuhan Universiti Malaya (UM).

“Bayangkan kita sebagai anak Melayu yang datang dari kampung hidup antara tahun 1950 hingga 1955, pendidikan rendah mempersiapkan orang Melayu untuk menjadi petani yang miskin, penoreh getah dan penanam padi yang miskin.

“Itulah permulaan pendidikan Melayu, jika dikira sistem persekolahan peringkat menengah baru wujud 60 tahun sahaja di negara ini,” katanya ketika menyampaikan syarahan dalam forum bertajuk Impak dan Tanggungjawab Institusi Pendidikan dalam Membina Budaya dan Tamadun Bangsa di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini semalam.

Forum anjuran MPM dengan kerjasama Kumpulan Utusan itu dipengerusikan Setiausaha Agung MPM, Prof. Datuk Dr. Hassan Mad dan turut mengundang bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UniKL, Farah Izzati Ahmed Othman sebagai penceramah.

Sementara itu Hasan berkata, Malaysia pernah menerima sentuhan visi dan misi Abdul Razak yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Negara, namun dalam menuju era Transformasi Nasional 2050 (TN50), gene­rasi hari ini harus membangkitkan kembali seorang lagi ‘Razak’ untuk mencipta pelbagai manfaat demi negara pada masa hadapan.

“Sejarah lalu menggambarkan orang Melayu berada dalam keadaan yang serba susah dan daif namun Tun Abdul Razak melihatnya dari sudut pandangan yang berbeza.

“Bermula dari situ beliau mengorak langkah pertamanya untuk keluar dari zon sedia ada dan hasil pembangunannya dapat kita pelajari dan dijadikan contoh sehingga hari ini,” katanya.