Katanya, rakyat sudah tujuh minggu membayar ‘subsidi’ kepada kerajaan, iaitu merujuk kepada harga runcit petrol tempatan yang lebih tinggi ditetapkan kepada pengguna berbanding jika harga petrol diapungkan.

“Jangan tangguh lama-lama. Rakyat sedang membayar harga petrol yang lebih tinggi daripada harga pasaran. Sudah tujuh minggu rakyat membayar ‘subsidi’ kepada kerajaan,” katanya menerusi status dalam laman Twitter beliau hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini mengumumkan harga runcit petrol RON95 akan dikekalkan pada harga RM2.20 seliter untuk tempoh beberapa hari selain harga petrol RON97 dan diesel masing-masing dikekalkan pada harga RM2.50 seliter dan RM2.18 seliter.

Guan Eng berkata, harga produk-produk petroleum itu adalah dikekalkan buat masa beberapa hari dengan penetapan harga terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun 2019.

Harga yang dikekalkan itu dilihat tidak menepati komitmen sebelum ini untuk menetapkan harga jualan secara mingguan bermula 1 Januari yang diramal menyaksikan penurunan harga petrol.

Ramai pihak sebelum ini menjangkakan harga petrol khususnya RON95 akan menurun kepada RM1.90 seliter susulan harga minyak dunia yang menjunam daripada AS$77 setong pada 10 Mei lalu kepada AS$54 setong ketika ini. - UTUSAN ONLINE