Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo

Menteri Komunikadi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, penurunan harga itu adalah berikutan pelaksanaan standard mandatori harga capaian (MSAP) sejak 8 Jun lalu.

“Pihak-pihak terlibat masih dalam perbincangan penetapan harga borong.

“Saya difahamkan bahawa proses ini akan berakhir pada Julai atau Ogos ini dan seterusnya pakej perkhidmatan jalur lebar pada harga yang lebih rendah akan diperkenalkan kepada pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Polisi MSAP kata Gobind, mengenakan harga siling borong bagi pihak pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) dalam pasaran.

Menurutnya, penurunan harga borong bakal mengurangkan harga pasaran untuk pengguna.

Di samping itu, katanya, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mempertimbangkan langkah-langkah lain yang boleh menurunkan lagi harga jalur lebar.

“Saya juga telah meminta SKMM untuk memantau harga jalur lebar di Malaysia supaya harga pakej peringkat permulaan adalah munasabah untuk semua rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada pengguna akan memperoleh rebat daripada penurunan harga jalur lebar, Gobind berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan semakan harga sepatutnya dilakukan pada 1 Januari lalu.

Berhubung usaha meningkatkan kelajuan Internet setaraf dengan negara-negara maju, beliau menjelaskan, langkah itu boleh dilakukan dan sebarang perkembangan berhubung usaha berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Gobind memberitahu, peratusan penembusan jalur lebar di Malaysia ketika ini adalah sebanyak 78 peratus. - UTUSAN ONLINE