Tinjauan Utusan Malaysia di Pusat Pendaratan Ikan Bisik-Bisik Kuala Sungai Muda, Kota Kuala Muda di sini hari ini mendapati harga ikan kembung itu dijual antara RM1.40 hingga RM2 sekilogram berbanding RM7 hingga RM8 sebelum ini.

Ekoran kejatuhan harga yang hampir empat kali ganda itu, rata-rata nelayan yang ditemui meng­akui ‘tidak pulang modal’ turun ke laut apatah lagi untuk mencari wang lebih bagi menyara keluarga mereka.

Seorang nelayan, Md. Saad Said, 58, dari Kampung Masjid Kuala Su­ngai Muda memberitahu, dia sendiri terkejut serta hairan apabila mendapat tahu ada nelayan tempatan terpaksa menjual ikan kembung pada harga RM1.40 sekilogram.

“Dulu kita boleh menjual ikan kembung lemak dengan harga RM8 sekilogram tetapi sekarang sudah tidak sampai RM2 sekilogram.

“Apabila ditolak de­ngan harga minyak dan lain-lain, saya serta empat pekerja lain hanya memperoleh RM65 se­tiap seorang hasil jualan ikan kembung yang diperoleh,” katanya ketika di temui di sini hari ini.

Menurutnya, kejatuhan harga itu disebabkan saiz ikan yang terlalu kecil sehingga memerlukan kira-kira 30 ekor untuk setiap kilogram.

Sementara seorang pembeli, Saudah Husain, 63, berkata, dia datang ke pusat itu setelah mendapat tahu ikan kembung dijual pada harga yang sangat murah.

“Ketika pukul 11 pagi, orang ramai sudah mula berada berhampiran bot nelayan untuk membeli ikan kembung dengan harga RM2 sekilogram.

“Nampaknya, keadaan harga jualan ikan kembung di sini tidak menentu tetapi sejak dua hari lalu saya datang ke sini, harganya tidak sampai RM3 sekilogram,” katanya.

Seorang pembeli, Wahyudi Wahid, 40, memberitahu, dia datang dari Kepala Batas, Pulau Pinang apabila mengetahui ikan kembung dijual pada harga yang murah.

“Saya beli ikan kembung seba­nyak 45 kilogram dengan harga RM2 sekilogram untuk mengadakan kenduri. Sebagai pembeli, tentu saya seronok kerana dapat beli ikan kembung dengan harga murah tetapi dalam kalangan nelayan tentulah agak sedih kerana hasil tangkapan terpaksa dijual dengan harga terlalu rendah,” ujarnya.