Pemilik kedai tersebut, Muhammad Ariff Qayyum Mohd. Zamri, 25, berkata, ini kerana harga tersebut adalah untuk tiga mangkuk cendol durian jenis Musang King yang merupakan salah satu menu ditawarkan dikedainya.

Jelasnya, menu cendol Musing King itu dijual mengikut berat isi durian antara 120 gram sehingga 150 gram setiap hidangan.

"Malah, pihak kami memaparkan senarai harga bagi setiap menu cendol yang dijual antaranya Cendol Musang King (RM38), Durian Udang Merah (RM20), Durian D24 (RM20), Durian Kahwin (RM17) dan cendol biasa RM7.

"Bagi penggemar durian, mereka sudah pasti mengetahui harga yang ditetapkan itu adalah munasabah, cuma saya bimbang kritikan ini dilemparkan oleh penggemar cendol yang tidak arif dengan harga durian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Muhammad Ariff Qayyum, kakitangan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka ada membuat pemeriksaan di kedainya petang ini dan mereka berpuas hati dengan produk jualan serta tanda harga yang diletakkan.

Sekeping gambar tular dalam media sosial hari ini memaparkan tiga mangkuk cendol durian Musang King beserta sekeping resit tertera harga RM114.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tujuan sebenar pembeli cendol berkenaan sama ada untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap harga cendol Musang King yang dibelinya atau sekadar ingin berkongsi pengalaman menikmati cendol durian premium itu.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Jaiya Abu ketika dihubungi mengesahkan pihaknya berpuas hati dengan syarat jualan yang dilaksanakan oleh pemilik premis perniagaan cendol berkenaan.

“Petang tadi anggota penguat kuasa kami membuat pemeriksaan dan mendapati peniaga terbabit tidak melanggar apa-apa syarat perniagaan termasuk tanda harga dan produk makanan yang ditawarkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE