Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, penetapan harga baharu itu bagaimanapun tertakluk kepada cukai yang dikenakan oleh kilang sahaja.

Sehubungan itu jelasnya, harga baharu itu bukan untuk semua jenis barangan sebaliknya hanya barangan tertentu.

“Pada masa ini, kementerian membenarkan semua pengusaha menetapkan harga barangan termasuk stok-stok baharu mengikut sistem lama (harga sebelum SST),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Roslan memaklumkan, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka terhadap empat buah perniagaan yang dikenal pasti gagal mematuhi sistem SST sejak ia dilaksanakan pada 1 September lalu.

Menurutnya, tindakan tersebut dibuat selepas pihaknya menjalankan Op Catut 5.0 ke atas sebanyak 20,259 premis dengan pemeriksaan ke atas sebanyak 490,328 barangan bermula 1 September lalu.

“Sebanyak 166 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21(2) AKHAP 2011 bagi melihat pematuhan peniaga terhadap perundangan.

“Turut dikeluarkan sebanyak 1,826 notis di bawah Seksyen 53A AKHAP 2011 untuk peniaga menyenggara dan menyimpan rekod perniagaan,” katanya.