Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat pengumuman itu di Beijing dan pastinya bukan hanya mengecewakan Mat Kereta Api sahaja, tetapi penduduk di Pantai Timur keseluruhannya.

Apa tidaknya hari ini dan beberapa hari ke hadapan mereka yang mahu pulang menyambut Hari Raya Aidiladha atau Raya Korban terpaksa berkorban masa, tenaga serta wang untuk melalui perjalanan yang mencecah lebih 12 jam sebelum tiba di kampung masing-masing.

Alternatif yang ada hanya menggunakan kapal terbang, tentulah yang mampu digunakan oleh mereka yang berada.

Jadi tidak hairanlah apabila kerajaan dahulu dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga berasal dari Pantai Timur apabila mengumumkan projek berkenaan menyebabkan hati orang ramai berbunga-bunga.

Segala azab sengsara meredah kesesakan lalu lintas dan terdedah kepada kemalangan yang meningkat semata-mata untuk pulang ke kampung berhari raya bersama sanak-saudara.

Namun harapan belum terpadam sepenuhnya, kerana Perdana Menteri mengumumkan projek itu yang menelan belanja RM81 bilion ditangguhkan sehingga kerajaan benar-benar mampu.

Bermakna penduduk di Pantai Timur masih lagi boleh berharap mereka juga akan menikmati kemudahan pengangkutan awam yang selesa dan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan di kawasan berkenaan semata-mata dikekang kurangnya akses pengangkutan yang baik ke pusat pertumbuhan di Pantai Barat.

Pandangan Mat Kereta Api ada juga kewajarannya kerana adalah satu kerugian bila kerajaan berhasrat enggan meneruskan projek ECRL memandangkan kemajuan pembinaan sudah melebihi 14 peratus. Penamatan pembinaan ini juga akan menyebabkan ribuan pekerja tempatan kehilangan pekerjaan.

Menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), ECRL dijangka mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung semasa tempoh pembinaannya manakala 6,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam operasinya.

Penggantungan projek ECRL baru-baru ini menyebabkan hampir 1,000 orang pekerja tempatan diberhentikan kerja.

Graduan universiti yang terpilih menjalani Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) turut menerima tempiasnya, sedangkan ia sejajar dengan kehendak Dr. Mahahtir sendiri mahukan pelaburan berteknologi tinggi dibawa masuk ke negara ini.

Mat Kereta Api itu mencadangkan sekurang-kurangnya diteruskan pembinaan laluan rel merentasi banjaran Titiwangsa yang menghubungkan Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak dan Pelabuhan Kuantan sejauh 230 kilometer.

Sebagai tambahan, Kabinet pada 2006 telah meluluskan pembinaan projek laluan kereta api dari KL Sentral ke Kuantan Sentral bagi meningkatkan pelaburan dan industri pelancongan di Pantai Timur.

Pembinaan sambungan laluan dari Pelabuhan Kuantan ke Kota Bharu pula boleh ditangguhkan sementara menunggu kedudukan kewangan negara kembali stabil.

Mat Kereta Api juga memberi cadangan langkah penjimatan kos seterusnya adalah dengan menukar spesifikasi tolok landasan standard (1,435 mm) kepada tolok landasan 1 meter (1,000 mm) sama seperti tolok landasan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Spesifikasi yang sama ini membolehkan tren ECRL dapat menggunakan stesen penumpang KTMB sedia ada di Mentakab manakala lokomotif untuk pengangkutan kargo boleh menggunakan laluan rel Batu Caves-Pelabuhan Klang.

Perjalanan dari Tumpat ke KL Sentral dapat disingkatkan antara 3 dan 4 jam kerana tren dari Pantai Timur tidak perlu lagi melalui Gemas untuk ke Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE