MUSA AWANG

Presiden PGSM, Musa A­wang berkata, perkara itu penting bagi melahirkan institusi kehakiman dan perundangan yang bebas dan berintegriti demi memastikan ia terus diyakini oleh rakyat dengan berpaksikan kelayakan dan pengalaman, tanpa dipengaruhi atau dirobek de­ngan kepentingan politik.

Katanya, pihaknya juga berharap profesion peguam syarie di negara ini dapat diangkat dan dimartabatkan setanding dengan profesion peguambela dan peguamcara di mahkamah sivil.

“PGSM merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ketujuh pada 10 Mei dan pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu ke arah Malaysia yang lebih baik.

“PGSM juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama melakukan perubahan de­ngan membina naratif baharu dan mencipta masa depan yang lebih strategik dan baik, dalam keadaan aman dan matang, tanpa menimbulkan sebarang persengketaan atau pertumpahan darah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Musa lagi, PGSM turut berharap agar Suruhanjaya Kehakiman Syariah dapat diwujudkan bagi memastikan institusi kehakiman dan perundangan syariah berjalan dengan berintegriti termasuk gaji, elaun dan imbuhan yang diberikan kepada hakim-hakim mahkamah syariah bersesuaian dengan tahap profesionalisme mereka.

“PGSM berharap semoga perubahan baharu ini menjanjikan yang terbaik untuk Malaysia, dengan memartabatkan sistem kehakiman dan perundangan Islam dalam dimensi dakwah yang lebih rahmat serta mempertontonkan keindahan Islam itu dengan berilmu dan berhikmah,” katanya.