Beliau berkata, kerajaan Pa­katan Harapan (PH) akan mengutamakan usaha bagi pe­mulihan kekayaan dan menyelamatkan ekonomi negara dalam tempoh berkenaan.

“Sekarang ini kita sebagai kerajaan. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyelesaikan beberapa masalah yang diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Kerajaan sebelum ini telah meminjam sejumlah wang yang besar iaitu lebih RM1 trilion. Adalah sukar bagi kita tetapi dalam satu atau dua tahun ini kita boleh mengurangkan jumlah itu,” katanya semasa sesi dialog bersama masyarakat Asia di sini dengan bekas Perdana Menteri Austra­lia, Kevin Rudd yang bertindak sebagai moderator.

Mengenai hutang Malaysia, Dr. Mahathir berkata, tiada negara sepatutnya mempunyai hu­tang di luar kemampuannya dan beliau merasa terkejut bagaimana kerajaan sebelum ini boleh membiarkan ini berlaku.

Beliau berkata, kerajaan telah membatal dan mengkaji semula sejumlah projek yang berkos tinggi bagi membantu pengurangan keseluruhan hutang.

Antara projek berkenaan ialah Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dikendali oleh China dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP).

“Kami masih berusaha (untuk berunding), dan saya rasa kontraktor di China tidak begitu gembira tetapi tidak pula membantah secara keras, katanya.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan juga berhasrat untuk menggalakkan pelaburan terus asing kerana Malaysia ialah lokasi pe­la­buran yang baik.

Sementara itu semasa sesi soal jawab, Dr. Mahathir berkata, nilai-nilai murni memainkan peranan pen­ting bagi menyemai integriti dalam sistem pendidikan dan pembangunan sesebuah masyarakat.

“Hari ini kebanyakan negara termasuk Malaysia, ibu bapa tidak mampu mendidik anak mereka berhubung nilai-nilai mur­­ni kerana mereka bekerja dan tidak mempunyai masa berkualiti mencukupi untuk diluangkan bersama anak.

“Jadi, kita di sekolah, dalam sekolah rendah dan taman didikan kanak-kanak (tadika) perlu mendidik anak dengan nilai-nilai murni,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, sekolah hendaklah memberi kepen­tingan kepada sistem nilai-nilai murni yang akan mencorak secara positif peribadi masyarakat.

Beliau menjelaskan bahawa ingin menjadi Menteri Pendidikan agar boleh mengkaji semula kurikulum pendidikan di Malaysia tetapi perlu mengetepikan idea itu kerana terpaksa mematuhi manifesto pilihan raya PH yang menyebut Perdana Menteri tidak boleh memegang lain-lain jawatan menteri.

Sesi berkenaan turut men­dengar Rudd pada pertengahan temubual itu berkata, beliau menganggap Dr. Mahathir sebagai santo pelindung.

“Amat jarang sekali saya melihat seorang pemimpin menyam­paikan ucapan selama 30 minit tanpa nota. Kami anggap anda sebagai santo pelindung sekembali semula dalam politik,” katanya dan disambut ke­tawa daripada hadirin. – BERNAMA