Mufti Kelantan, Datuk Mo­hamad Shukri Mohamad ber­kata, beliau bersyukur dan gembira dengan keputusan itu, namun berharap semua pihak terutama golongan yang bersikap ‘pelampau’ juga me­nerima keputusan kerajaan itu dengan hati terbuka.

Tanpa menjelaskan definisi ‘pelampau’ yang beliau maksudkan, Mohamad Shukri ber­kata, keputusan itu juga me­nunjukkan kerajaan memberi perhatian kepada sensitiviti masyarakat.

Sementara itu, Mufti Wi­layah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, meskipun Palestin dan Arab Saudi menandata­ngani ICERD, tidak bererti Malaysia perlu mengambil langkah sama kerana sejarah, adat dan penerimaan setempat yang berbeza.

Katanya, ada juga negara yang meratifikasi konvensyen itu tetapi tidak pun meme­nuhi segala perkara dalam konvensyen tersebut seperti Israel yang diketahui melanggari beberapa hak asasi manusia ter­utama dengan menindas rak­yat Palestin.

“ICERD tidak perlu dan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana kemudaratannya dikhuatiri lebih besar. Perlembagaan Persekutuan sudah menjamin hak setiap kaum dan agama di negara ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Mufti Pe­rak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tiada lagi keperluan untuk perhimpunan diadakan setelah kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD.

“Kerajaan telah pun men­dengar bantahan rakyat dan kita kenalah berterima kasih kepada mereka, itu sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.