Walaupun langkah kawalan dilakukan termasuk menghentikan permit import (AP) sisa plastik selama tiga bulan, namun pakar dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melihat perkara itu belum memadai kerana sisa plastik domestik sendiri cukup banyak untuk diuruskan.

Apatah lagi kata mereka, China yang selama ini pembeli utama sisa plastik dari seluruh dunia sudah mengharamkan sepenuhnya import bahan itu dengan Malaysia sendiri mengeksport plastik untuk dikitar semula ke negara itu sebanyak 115,000 tan tahun lalu mengikut data sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagi pegawai penyelidik Sahabat Alam Malaysia (SAM), S. Ma­geswari, usaha mengawal pe­ngimportan sisa plastik de­ngan membeku sementara lesen import sahaja tidak mencukupi ke­rana rekod menunjukkan kawalan yang dilakukan tidak memberi kesan.

Katanya, langkah mengharam­kan sepenuhnya import sisa plastik perlu dibuat segera kerana jika tidak, lebih banyak bahan itu dibawa masuk dari negara maju oleh peniaga tamak yang bersedia mewujudkan kilang haram ber­ikutan larangan import oleh China sejak awal tahun ini.

“Dari dahulu ada langkah kawalan tetapi tidak berkesan. Plastik diimport itu bukan semua boleh dikitar semula, ada yang kualiti rendah sampai jadi lambakan dan akhirnya dibakar untuk dilupuskan sedangkan bahan kimia yang dilepaskan akibat pembakaran plastik amat berisiko dan boleh menyebabkan kanser.

“Pencucian sisa pla­stik sebelum pro­ses kitar semula juga menyebabkan pencemaran sungai dan laut. Kenapa Malaysia perlu import sisa plastik dari negara maju? Seharusnya negara maju seperti Britain dan AS bertanggungjawab terhadap sisa yang dijana di negara masing-masing. Kita bukan tong sampah,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selasa lalu, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dalam sidang Dewan Rakyat menegaskan Malaysia tidak akan menjadi tong sampah sisa-sisa plastik dari negara-negara maju walaupun setelah China mengharamkan import plastik berkuat kuasa Januari tahun ini.

Sehubungan itu, Bee Yin memberitahu, kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji kaedah yang terbaik untuk mengawal pengimportan sisa plastik dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah membekukan AP sisa plastik kepada 114 syarikat dan kilang berkuat kuasa 24 Julai lalu.

Selain China, Thailand juga menghentikan import sisa plastik manakala Vietnam pula memperkenalkan kawalan ketat berhubung perkara itu bagi mengelakkan mereka menjadi tong sampah kepada negara maju.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris pula berkata, apa yang berlaku ini menunjukkan negara maju mengambil kesempatan ke atas ‘negara-negara miskin’.

Kata beliau, puncanya akibat kelompongan dalam perunda­ngan dan oleh itu, kerajaan perlu menyemak segera akta berkaitan agar tidak terus diambil kesempatan oleh negara-negara maju.

Menurutnya, ini penting ke­rana pengurusan sisa plastik de­ngan cara yang salah boleh memberi kesan serius kepada penduduk dan alam sekitar ter­utama meningkatkan risiko kan­ser selain menjejaskan hidupan laut.

“Sebahagian plastik akan dibakar jika tidak dapat dikitar semula. Apabila dibakar inilah bahan kimia Bisphenol A (BPA) dilepaskan dan boleh sebabkan kanser. Bahkan sebenarnya banyak sisa berbahaya dihantar ke negara miskin, ke­adaan ini perlu dihentikan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin pula berpendapat, kerajaan perlu memastikan pengurusan sisa plastik domestik berada dalam keadaan yang baik terlebih dahulu sebelum menerima beban sisa plastik dari negara maju.

“Untuk menguruskan sisa plastik dengan baik, kita perlu ada kemudahan yang mencukupi. Ini yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan,” katanya.