Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, tindakan menyenaraikan pelbagai janji manis dan popular bagi meraih undi sedangkan sedar mereka tidak mampu melakukannya menyebabkan perbuatan tersebut haram.

“Penipuan sering berlaku dalam musim pilihan raya. Antaranya mempamerkan manifesto bohong yang pihak meletakkan itu sendiri mengetahui bahawa mereka tidak mampu melaksanakannya.

“Demikian memberikan maklumat palsu mengenai calon yang disokong ataupun yang ditentang. Dengan maklumat yang palsu itu maka pengundi akan tertipu dan membuat keputusan yang salah,” katanya menerusi akaun Facebooknya.

Mohd. Asri turut menguatkan hujah tersebut dengan dua hadis Nabi Muhammad.

“Sesiapa yang memperdaya kami (kaum Muslimin) maka dia bukan dalam kalangan kami. Tipu daya dan tipu helah itu dalam neraka.

“Sesiapa yang memberikan pendapat untuk saudaranya dalam sesuatu perkara sedangkan dia tahu bahawa kebaikan itu pada perkara yang lain (pendapat lain) maka dia telah mengkhianatinya,” kongsi beliau kepada pengikutnya di media sosial.

Hadis tersebut dipetik daripada Riwayat al-Tabarani dan Ibn Hibban serta Riwayat Abu Daud. - UTUSAN ONLINE