Pengerusi Persatuan Eksplorasi Pasca Karbon, Aliff Basri berkata, langkah kerajaan membekukan permit import (AP) sisa plastik selama tiga bulan dilihat sebagai respons jangka masa pendek sahaja dan berpanda­ngan, pemberian permit itu bakal memburukkan lagi keadaan de­ngan mengambil kira situasi pe­ngurusan sampah ketika ini.

Malah beliau menyokong agar aktiviti import plastik diharamkan selepas ini kerana menyifatkan sebagai penyelesaian sisa pepejal yang tidak begitu efisien.

“Saya menghormati keputusan kerajaan kerana ia adalah pragmatik dan perlu dilakukan disebabkan isu ini telah dibangkitkan sejak beberapa minggu lalu, namun menerusi pengalaman lepas, saya senada dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang melihat situasi tidak terkawal kerana pemberian AP.

“Apakah ada jaminan bahawa isu pengurusan sisa plastik boleh diselesaikan? Jika kajian sedang dilakukan, kerajaan dapat memberikan jaminan maka sebagai rakyat, kami berhak mengetahuinya. Jika tidak ada jaminan, maka penyelesaiannya adalah haramkan dan fokus terhadap isu sisa pepejal domestik sahaja,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, beberapa pakar dan NGO menggesa kerajaan mengharamkan sepenuhnya import sisa plastik dari negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain untuk dikitar semula di negara ini yang pada tahun lalu sahaja mencatat jumlah 550,000 tan bagi mengelak kesan buruk kepada ke­sihatan awam dan alam sekitar.

Meskipun langkah kawalan dilakukan termasuk menghentikan AP sisa plastik selama tiga bulan, namun golongan tersebut melihat perkara itu belum memadai kerana sisa plastik domestik sendiri cukup banyak untuk diuruskan.

Mengulas lanjut, Aliff turut mencadangkan kepada kerajaan dan pihak berkaitan untuk memperkasakan prasarana kitar semula dengan mengenal pasti dan menyelesaikan cabaran rantaian pembekalan pe­ngurusan sisa pepejal di negara ini.

“Selain itu, saya turut sarankan insentif bebas plastik di pe­ringkat perkilangan, cadangan ini harus disokong menerusi pemberian insentif bagi syarikat yang mengeluarkan produk pengguna dengan penggunaan pembungkusan plastik paling minimum,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif iCYCLE, Dr. Tan Ching Seong berpendapat, usaha pembekuan sementara lesen import adalah amat wajar tetapi kerajaan juga harus melaksanakan dasar bersifat jangka masa panjang seperti polisi Zero Waste dalam menangani isu pengurusan sisa pepejal dengan lebih berkesan.

Sambil mengalu-alukan langkah pembekuan sementara itu, beliau berkata, kerajaan harus mengadaptasi polisi Zero Waste dengan kadar segera memandangkan ia amat penting untuk masa depan negara.