Namun, suasana begitu tidak dirasakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Menyusut, kira-kira 30 kilometer dari Bandar Permaisuri apabila hari pertama persekolahan seakan hari biasa sahaja.

Sekolah di pedalaman dengan tiga blok bangunan lama itu merupakan salah sebuah daripada lima sekolah kategori kurang murid, dengan hanya menerima kemasukan lima murid tahun satu semalam.

Mereka termasuk seorang perempuan, sudah saling mengenali dan mudah sesuaikan diri menyebabkan ibu bapa tidak perlu menunggu lama sebelum meninggalkan mereka untuk menjalankan urusan harian.

Guru Besar sekolah itu, Azman Sulong ketika ditemui berkata, sama ada bilangan murid kecil atau ramai, tugas dan tanggungjawab guru tetap sama dan tidak menjejaskan semangat mereka, malah tumpuan penuh dapat diberikan kepada setiap murid.

“Dengan kemasukan lima orang murid tahun satu, keseluruhan murid SK Merbau Menyusut pada tahun ini dari tahun satu hingga enam berjumlah 58 orang di samping 25 murid prasekolah.

“Di sekolah ini terdapat 13 orang guru dan jadual pembelajaran disusun untuk disesuaikan dengan jumlah murid termasuk diadakan kelas bercantum bagi mata pelajaran Seni Visual dan Pendidikan Jasmani,” ujarnya.

Katanya, penduduk di situ kebanyakannya menjalankan kerja kampung dengan bertani dan menoreh getah dan sebahagian daripada mereka menempatkan anak-anak di SK Pelong.

Selain SK Merbau Menyusut, turut menerima kemasukan bilangan murid tahun satu dengan jumlah begitu kecil di daerah ini ialah SK Tayor (tujuh orang), SK Payong (tujuh orang), SK Bukit Mundok (enam orang) dan SK Bari (empat orang).