Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Khairi Hassan berkata, lima lagi maahad bagaimanapun diberi kebenaran untuk beroperasi sementara bagi memberi peluang kepada mereka memenuhi syarat yang ditetapkan.

"Hanya Maahad yang beroperasi secara sah boleh didaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPNPs) untuk layak mendapat bantuan tahunan," katanya kepada Bernama di sinihari ini.

Menurut Khairi, sembilan maahad tersebut ialah Tahfiz Al-Hikmah, Padang Siding; Madrasah Miftahul Hidayah, Jalan Kaki Bukit; Dar al-Quran Wal Hadeeth, Bukit Jernih, Chuping.

Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Barakah, Santan; Tahfiz Al-Quran Nurul Saadah, Mengkuang Layar; Tahfiz Darus Sunnah, Padang Melangit; Tahfiz Al-Quran Al-Raudah, Mengkuang Layar; Tahfiz Al-Bagan, Ulu Pauh; dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, Guar Jentik.

Khairi berkata, permohonan Maahad Tahfiz Al-Barqiy, Kangar yang telah lulus pemeriksaan bomba baru-baru ini untuk didaftarkan dengan JAINPs akan dibuat dalam masa terdekat.

Maahad Tahfiz Baitulrahim, Kangar dan Maahad Tahfiz Al-Sofi, Kampung Baru, Jalan Padang Besar yang diperiksa oleh bomba baru-baru ini di dapati tidak memenuhi syarat ditetapkan, kata beliau.

Menurutnya, Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Imam An Nawawi di Abi dekat sini lulus pemeriksaan bomba tetapi tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) kerana masalah teknikal manakala Madrasah Tahfiz Al-Othmani, Tanjong Gorah di Repoh, Kangar dalam proses membuat permohonan untuk diperiksa oleh bomba dan JAINPs.

"JAINPs akan meminta kerjasama Jabatan Bomba untuk membuat pemeriksaan berkala ke atas premis-premis maahad yang beroperasi bagi memastikan keselamatan pelajar mereka agar malapetaka seperti kebakaran dapat dielakkan," tambahnya. - BERNAMA