Ikan plagik  yang hidup secara berkumpulan pada kedalaman sehingga 200 meter dari permukaan tertumpu di kawasan kira-kira 100 hingga 200 nautika dari perairan negara, namun hanya segelintir bot laut dalam tempatan yang sanggup meneroka kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata,  kebanyakan mereka hanya menjalankan aktiviti  pada sekitar 30 batu hingga 100 batu nautika dari perairan negara.

"Ini antara punca yang memudahkan nelayan-nelayan asing mengambil kesempatan menceroboh perairan negara untuk mengaut sumber itu.

"Oleh itu, kita beri galakan supaya lebih ramai lagi nelayan laut dalam tempatan agar memberanikan diri menangkap ikan di kawasan yang kaya dengan sumber ikan plagik itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan ke-25 Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC)/Jabatan Pengurusan dan Pembangunan Sumber-sumber Perikanan Marin ( MFRDMD)  di Taman Perikanan Cendering.

Yang turut hadir, Timbalannya, Tan Geik Hong dan Pengarah SEAFDEC / MFRDMD, Raja Bidin Raja Hassan.

Beliau memberi amaran  kepada pengusaha bot laut dalam bahawa mereka bakal berdepan dengan risiko kerugian besar jika terus mencari keuntungan dengan membiarkan pengusaha asing menggunakan bot dan lesen mereka untuk mengaut hasil laut negara ini.

Munir Mohd. Nawi menegaskan selain pembatalan lesen, bot akan disita, dan mereka juga bakal didenda RM100,000 hingga RM1 juta jika dikesan berbuat demikian.

Katanya,  tindakan tegas di bawah Akta Perikanan 1985 itu dikenakan bagi memastikan sumber perikanan negara terpelihara dan mengelak hasil laut tersebut dibawa ke luar negara.

Sejak tahun 2015 hingga kini, sebanyak 472 lesen dibatalkan kerana melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 260, Kelantan (90), Pahang (46), Terengganu (31), Perlis (28), Perak (10), Johor dan Selangor masing-masing tiga manakala satu di Labuan. - UTUSAN ONLINE