Menurut Pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave, seramai 30 artis telah dihubungi untuk mengadakan persembahan sebelum disenarai pendek kepada 18 orang sahaja.

“Mana-mana artis yang tidak dapat buat persembahan janganlah tersinggung kerana SM Salim yang buat pilihan.

“Kita akan sentiasa menjemput penyanyi untuk membuat persembahan konsert mahupun program yang dianjurkan YA1M pada masa akan datang,” jelasnya pada Utusan Malaysia hari ini.

DJ Dave mengulas mengenai kekecewaan yang diluahkan penyanyi veteran, Aspalela Abdullah, 70, mengenai penggugurannya dalam konsert berkenaan pada pihak media sebelum ini.

Tambah DJ Dave, perkara ini hanyalah salah faham apatah lagi tujuan utama konsert ini diadakan adalah untuk membantu golongan artis veteran yang memerlukan bantuan.

“Tujuan kita baik iaitu menghargai jasa SM Salim yang sudah banyak menyumbang untuk industri seni negara,” jelasnya.

Sementara itu, bercerita mengenai perjalanan konsert, jelas DJ Dave, semuanya berjalan dengan lancar dan dia sangat berterima kasih dengan kerjasama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Mengadakan sebuah konsert memerlukan kos yang besar dan tanpa kerjasama antara RTM dan DBKL, agak mustahil untuk kami melakukannya,” katanya.

Konsert di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu akan menampilkan penyanyi, Datuk M. Nasir, Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Yusni Hamid.