Fathul Bari dalam status terbaharu di Facebook berkata, terpulang kepada Siti Kasim yang dipanggil sebagai 'auntie' sama ada untuk bersetuju atau tidak dengan pertemuan yang sudah dipersetujui oleh Zakir itu.

"Berulangkali saya sebutkan dalam kenyataan saya bahawa saya boleh aturkan pertemuan 'auntie' dgn Dr. Zakir Naik. Pertemuan bukan perdebatan.

"Cuma setelah bertemu terpulanglah kepada auntie sama ada hendak dialog, nak tanya soalan atau hendak debat. Itu terpulang kepada 'auntie'," kata Fathul Bari menjawab status Siti Kasim di Facebook yang menolak untuk berdebat dengan Zakir.

Fathul Bari

Fathul Bari juga menolak dakwaan Siti Kasim kononnya beliau dan Asiah Jalil menjadi sasaran disebabkan mereka adalah wanita.

"Auntie tanya kenapa saya pilih dua orang sahaja daripada 19 org aktivis. Di sini jawapan saya, sebab auntie dan akak Asiah Jalil adalah muslimah.

"Kalau ada lagi muslim atau muslimah dari kalangan 19 tu, sila datang sekali. Sebab auntie dan kak Asiah popular lagi terkenal. Sebab saya difahamkan auntie dan kak Asiah Jalil adalah peguam yang hebat," kata Fathul Bari.

Fathul Bari turut menegur perkataan bodoh dan keldai yang digunakan Siti Kasim dalam status Facebook beliau.

"Lain kali kalau hendak menyatakan tidak setuju atau bantahan, auntie tidak perlulah keluarkan kata-kata yang tidak baik.

"Melabelkan orang sebagai bodoh, keldai, tidak sedar diri adalah tidak baik auntie. Silakan membantah tetapi jaga akhlak," kata Fatul Bari.

Siti Kasim

Fathul Bari juga berkata, tidak timbul isu 'sub judice' dalam cadangan pertemuan antara Siti Kasim dan Zakir.

"Sub judice punya isu, apa hubung kait saman auntie terhadap kerajaan dengan pertemuan Dr. Zakir Naik serta implikasi undang-undang.

"Saya berpendapat tiada isu auntie. Bahkan jika pertemuan dilaksanakan dgn berhemah serta harmoni, insyaAllah kebaikannya lebih besar," tegas Fathul Bari.-UTUSAN ONLINE