KUALA LUMPUR 3 Jan. – Mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang diadakan malam ini hanya membincangkan mengenai persiapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tanpa menyentuh mengenai tarikhnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mesyuarat khas itu hari ini juga tidak membincangkan mengenai pembahagian kerusi.

“Biasanya, kita tidak membincangkan mengenai isu pembahagian kerusi dalam mesyuarat khas yang diadakan sebegini.

“Malah, tiada tarikh juga dibincangkan. Nanti kita bincang di peringkat tertinggi, Kita masih ada masa lagi,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut, malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan Mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN yang berlangsung selama kira-kira dua jam.

Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika ditemui berkata, parti itu telah menyerahkan senarai calon kepada Datuk Seri Najib selaku Pengerusi BN. 

“Selepas ini terserah kepada Pengerusi BN untuk memuktamadkan senarai calon itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE