Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, jumlah berkenaan dilihat terlalu kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan pemandu teksi termasuk pemandu limousin, Uber dan Grab Car sepenuh atau separuh masa di seluruh negara.

Menurutnya, hal tersebut adalah disebabkan kurangnya pendedahan mengenai faedah yang boleh diperoleh oleh kumpulan yang dikategorikan sebagai bekerja sendiri terutamanya apabila ditimpa kemalangan semasa di tempat kerja.

‘‘Sehubungan itu, Perkeso meminta semua pemandu teksi, limousin, Uber dan Grab Car di seluruh negara untuk mendaftar sebagai pencarum demi faedah mereka serta keluarga selain memastikan diri dilindungi sekiranya terlibat dalam kemalangan.

‘‘Usaha ini bukan untuk membebankan golongan pemandu teksi sebaliknya demi faedah mereka sendiri kerana kemalangan tidak berbau dan kita sebaiknya perlu bersedia dengan skim perlindungan,’’ katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan cek bayaran faedah kepada Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) di Melaka Sentral di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengarah Perkeso negeri, Fadilah Hamil dan pemandu teksi yang juga penerima bantuan, Ali Ibrahim.

Jelas Mohammed Azman, pihaknya boleh mengambil tindakan kepada pemandu-pemandu teksi yang enggan mendaftar sebagai pencarum Perkeso, namun memberi kelonggaran agar kumpulan tersebut mendaftar secara sukarela.