Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, ketika ini 95 peratus pelajar di ILP yang menawarkan diploma dan sijil dalam bidang pertanian terdiri daripada kalangan orang Melayu.

"Saya telah melihat pemberian diploma dan sijil hari ini. Saya mengharapkan lebih ramai penyertaan pelajar bukan Melayu. Saya rasakan penyertaan kaum bukan Melayu masih rendah.

"Penyertaan lebih ramai pelajar bukan Melayu supaya menampakkan keceriaan. Janganlah ada program dan aktiviti termasuk ILP yang hanya disertai oleh Melayu sahaja," kata Salahuddin.

Salahuddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Konvokeysen Pertanian ke-8 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pagi ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohd. Salahuddin Hassan.

Seramai 1,274 graduan Institusi Latihan Pertanian (ILP) menerima sijil dan diploma dalam majlis tersebut.

Graduan yang terlibat terdiri daripada 122 graduan Diploma Kemahiran Malaysia, 765 graduan Sijil Kemahiran Malaysia, 308 graduan Sijil Pertanian Malaysia, 45 graduan Sijil Veterinar Malaysia dan 34 Sijil Perikanan Malaysia.

Salahuddin berkata, sejumlah 65 peratus daripada pelajar berkenaan telahpun ditawarkan pekerjaan oleh syarikat swasta.

Sejak tahun 1969 sehingga kini kerajaan telah berjaya mengeluarkan 19,296 graduan dalam bidang pertanian dan industri asas tani.-UTUSAN ONLINE