Mohammed AzmanAziz Mohammed

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perkeso, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, jumlah itu hanya meliputi kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan baucar itu yang membolehkan pekerja berusia 40 tahun ke atas menjalani pemeriksaan kesihatan percuma.

“Pada tahun 2013, Perkeso mengeluarkan 1,699,502 keping baucar Program Saringan Kesihatan Pekerja dan pada 2014 sebanyak 266,087 baucar manakala pada 2015, 201,490 baucar.

“Nama pekerja berusia 40 tahun ke atas yang telah tersenarai pada 2013 tidak akan dimasukkan lagi dalam senarai penerima baucar tahun berikutnya. Sebab itu bilangan baucar yang dikeluarkan menurun dan tidak sama pada tahun 2014 dan 2015,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak hari ini mengumumkan akan meneruskan pemberian baucar itu.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, daripada jumlah baucar yang ditunaikan, lebih 30 peratus dibuat oleh pekerja di kawasan bandar terutama Lembah Klang.

“Sebanyak 1.743 juta baucar yang belum ditunaikan adalah masih sah untuk digunakan,” katanya.

Pekerja yang masih menyimpan atau mahu mendapatkan baucar Program Saringan Kesihatan Pekerja di hospital atau klinik kerajaan boleh menghubungi Perkeso untuk maklumat lanjut menerusi talian 03-42521258, 03-42524475, 03-42645089 dan 03-42524476.