Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata, dapatan laporan tersebut agak mengecewakan memandangkan sasaran berkenaan telah ditetapkan pada 1967 iaitu sejak 50 tahun lalu.

“Antara faktor kegagalan ini adalah kurang minat dalam kalangan pelajar sehingga bidang ini dianggap sebagai satu beban selain tanggapan kurang peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Ada yang melihat pedagogi dalam bidang ini tidak seronok serta membosankan, justeru minat itu tidak timbul untuk menceburinya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Pembudayaan STEM anjuran Sogud Sdn. Bhd. (Sogud) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Prof. Dr. Ramzah Dambul dan Pengarah Urusan Sogud, Mohd. Nazil Mohamad Lan Allani.

Madius berkata, pelan tindakan bagi mencari penyelesaian masalah itu telah dibuat melalui Startegi Lautan Biru (NBOS) iaitu melibatkan kementeriannya dengan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sementara itu, Mohd. Nazil ketika ditemui berkata, melalui program berkenaan, syarikatnya memperkenalkan peranti elektronik dikenali sebagai Microbit yang mampu menarik minat golongan pelajar menceburi bidang pengekodan dan pengaturcaraan.

Katanya, dengan menggunakan Microbit, pemahaman terhadap bidang tersebut menjadi lebih mudah, malah para pelajar turut berpeluang menghasilkan karya sendiri termasuk mencipta permainan aplikasi.

“Kit Microbit ini yang dikeluarkan oleh syarikat kami mampu menarik minat pelajar kepada bidang pengaturcaraan dan pengekodan secara asas sebelum menceburi bidang pengkhususan di peringkat lebih tinggi.

“Dalam program ini, sebanyak 30 pelajar dari SMK Sri Nangka, SMK Tamparuli dan SMK Tun Fuad Stephen akan diajar menggunakannya dengan harapan satu hari nanti mereka dapat memupuk minat menceburi bidang berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE