Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, permohonan cuti hanya dibenarkan diambil bermula 18 Jun dengan tempoh atau jangka masanya bergantung kepada kelulusan ketua masing-masing.

"Ini bermakna hanya kira-kira 2,600 anggota bomba dibenarkan bercuti manakala yang lain diarahkan bertugas seperti biasa sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan menjelang Hari Raya Aidilfitri," katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri majlis jalinan Ramadan di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohammad Mantek dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

Menurut Noh, kebenaran bercuti diberikan dengan mengambil kira penugasan yang perlu dilakukan anggotanya sepanjang musim perayaan, khususnya pada minggu akhir Ramadan dan awal Syawal.

Dalam pada itu, beliau berkata, sempena Ramadan, JBPM memberi tumpuan melakukan pemeriksaan keselamatan di lokasi atau tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pusat membeli-belah. 

"Pemeriksaan yang dilakukan bermula awal Ramadan itu meliputi aspek keselamatan lif, tangga bergerak serta laluan kecemasan jika berlaku bencana serta tahap penyediaan peralatan keselamatan oleh pihak pengurusan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Langkah turun padang ini dibuat bagi memastikan semua pengusaha mengambil tindakan sepatutnya sekali gus memberikan keselesaan kepada orang ramai ketika berurusan," katanya.

Dalam pada itu katanya, sejak awal Ramadan, kira-kira 2,000 lokasi tumpuan telah diperiksa dan program turun padang akan diadakan lebih kerap menjelang hari raya. - UTUSAN ONLINE