Pengurus Besar Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Ismail Abi Hashim berkata, jumlah itu direkodkan sejak skim itu dikuatkuasa dan diwajibkan pada 1 Jun lalu sehingga Disember lalu.

Ismail berkata, jumlah yang berdaftar masih rendah dan jauh daripada yang disasarkan namun pihaknya sentiasa berusaha bagi memastikan lebih ramai pemandu teksi berbuat demikian.

"Malang tidak berbau dan skim ini sebagai satu pelindungan kepada pemandu teksi serta pemandu terlibat jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

"Setidak-tidaknya pencarum dan keluarga ada perlindungan dan sumber kewangan semasa ditimpa kesulitan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan Cek Faedah Hilang Upaya Sementara daripada Perkeso kepada seorang pemandu teksi, Mohamad Helmi Hashim, 46, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 9 Disember tahun lalu.

Cek berkenaan diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon di rumah Mohamad Helmi di Taman Chemor Mesra, Chemor di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE