Bagaimanapun kerajaan berusaha membantu peminjam dengan memperkenalkan pelbagai cara untuk dinyahsenaraikan.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, antaranya adalah dengan mengadakan Program Boleh Bincang yang mana peminjam boleh berjumpa dengan pegawai di kaunter PTPTN bagi membincangkan jalan penyelesaian masalah mereka.

Katanya, agensi itu turut membuka kaunter 24 jam di pintu masuk utama kaunter Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk kemudahan peminjam untuk ke luar negara.

“Baru-baru ini, kami turut mengadakan penyambungan pinjaman bagi peminjam diploma dan ijazah kerana sebelum ini ada dalam kalangan mereka disenaraihitamkan di peringkat diploma sedangkan mereka masih lagi belajar di peringkat ijazah.

“PTPTN juga sedang berbincang dan mengkaji untuk memberi beberapa lagi kemudahan kepada peminjam supaya mereka tidak terbeban. Cuma apa yang saya syorkan adalah peminjam bermasalah supaya berhubung dengan pihak kami,” katanya dalam majlis pelancaran UMNO Bantu Rakyat 2.0 anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) di Ibu pejabat BiKUM, di sini hari ini.

Sementara itu, antara penyelesaian lain yang ditawarkan PTPTN termasuklah membuat penstrukturan semula pinjaman seperti memanjang waktu pembayaran pada kadar lebih rendah, penjadualan semula dan penukaran daripada konvensional ke Ujrah.

“Kami fleksibel dan mempunyai kaedah penyelesaian terbaik. Orang ramai harus faham komitmen PTPTN adalah untuk memberi pinjaman kepada peminjam.

“Oleh itu, kami berharap agar mereka yang menerima pinjaman sebelum ini dapat membayar semula supaya wang ini diberikan pula kepada pelajar lain,” katanya.