Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, kesemua 179 usahawan tersebut aktif dalam tiga bidang F&B iaitu restoran, makanan sejuk beku, pembuatan manisan dan makanan halal.

Menurut beliau, industri halal di seluruh dunia kini semakin meningkat namun eksport negara untuk produk halal disifatkan masih rendah iaitu bernilai RM39 bilion jika dibandingkan dengan pasaran halal dunia.

“Daripada sejumlah 5,726 syarikat halal yang berdaftar di Malaysia, hanya 2,290 atau 40 peratus terdiri daripada syarikat Bumiputera.

“Saya percaya industri halal berpotensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara amnya dan khususnya meningkatkan keuntungan usahawan Bumiputera terutama dalam PUNB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perjumpaan Usahawan Produk Halal 2017 anjuran PUNB di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Halal Hab, Azhar Yaacob dan Pengarah ‘Halal Compliance International Strategic Alliance’, ‘Pure Good Hub’ (PGH) Dunia Melayu Dunia Islam, Zuraimi Jumaat. - UTUSAN ONLINE