Ketika ini, hanya 17 peratus atau 70,000 daripada sasaran 500,000 saintis dan jurutera menjelang tahun 2020 dapat dicapai walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mencapai angka tersebut.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Ir. Dr. Hamisah Tapsir berkata, keadaan itu perlu segera diatasi kerana negara amat memerlukan tenaga pakar berkenaan bagi memenuhi keperluan industri yang berkembang pesat seiring dengan Revolusi Industri 4.0.

Untuk itu, Dr. Hamisah menyatakan, menjadi keutamaan bagi negara untuk mencari dan mengguna pakai platform dan program baharu yang boleh menarik minat pelajar kepada bidang berkait teknologi dan kejuruteraan.

“Pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan negara perlu diselaraskan dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

“Perubahan ini mesti dilakukan jika kita mahu kembali berada di atas landasan yang betul bagi mencapai sasaran 500,000 orang saintis dan jurutera menjelang tahun 2020,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia Kelima (ESTCON 2018) di sini hari ini.

ESTCON adalah acara dwitahunan anjuran Universiti Teknologi Petronas yang menjadi platform untuk mengumpul para pakar teknologi, kejuruteraan serta saintis dari seluruh dunia.

Sebanyak 10 sesi pembentangan yang membincangkan pelbagai tajuk berkaitan teknologi, kejuruteraan dan sains telah diadakan sempena persidangan dua hari yang dihadiri oleh lebih 1,000 pakar industri bidang-bidang yang berkaitan. - UTUSAN ONLINE