Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, meskipun perkara itu tidak diwajibkan, pihak kementerian berharap lebih ramai majikan akan menyediakan pusat rawatan awal sementara kepada pekerja mereka.

“Ini wajar kerana jika seseorang pekerja itu mendapat kemalangan, tindakan menyelamat dengan memberikan rawatan awal sangat perlu sebelum dibawa ke klinik atau hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pejabat Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri Wilayah Jengka di Bangunan Persekutuan Maran di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail; ADUN Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail; Timbalan Pengarah Kanan Seranta (Felda), Jabatan Perdana Menteri, Rosdin Abas dan Ketua Seranta Wilayah Jengka, Datuk Khatijah Mohd. Said.

Sementara itu, Ismail berkata, jumlah pekerja dalam dua sektor tersebut adalah sebanyak 146,595 orang dengan 18,402 majikan berdaftar dalam sektor hartanah dan 2,890 sektor perladangan.

Katanya, daripada jumlah itu, hartanah merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 134,733 pekerja.

Menurut beliau, kementerian sentiasa memandang serius faktor keselamatan dan kebajikan pekerja yang harus menjadi keutamaan semua majikan di negara ini.

“Pihak kementerian tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada terhadap majikan yang melanggar undang-undang pekerja ditetapkan,” katanya.