Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad
Mohd. Yusof Ahmad

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad (gambar) berkata, tindakan segelintir keluarga perempuan menetapkan jumlah hantaran yang terlalu tinggi terhadap pihak lelaki adalah tidak munasabah.

“Kita sedia maklum dalam Islam, hanya mas kahwin yang wajib dibayar oleh pihak lelaki kepada pengantin perempuan.

“Namun kebanyakan pihak keluarga meminta hantaran tinggi atas alasan mahu menampung perbelanjaan kos kenduri di sebelah keluarga perempuan sehingga ada yang terlalu membebankan pihak lelaki,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Beliau berkata, tidak wajar apabila ada yang menetapkan wang hantaran sehingga RM50,000 dengan alasan kos perbelanjaan majlis yang semakin meningkat.

Mohd. Yusof menambah, perbincangan terperinci dan kata sepakat antara keluarga perlu ada bagi mengelakkan masalah ketika majlis berlangsung.

“Elak buat bajet sendiri untuk meletakkan nilai hantaran kerana perkara ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati keluarga kedua-dua pihak. Pastikan pasangan pengantin berbincang bersama keluarga semasa rombongan merisik tentang nilai wang hantaran yang ditetapkan.

“Kita mempunyai adat. Ambil peluang untuk berbincang nilai wang hantaran yang dipersetujui kedua-dua belah pihak agar majlis perkahwinan sempurna,” katanya.

Berkahwin bukan untuk sehari. Peruntukan untuk hidup berumahtangga sehingga akhir hayat lebih utama daripada mengadakan majlis perkahwinan yang gemilang dengan kos yang membebankan.