Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, surat rasmi tersebut bagi menyatakan perasaan dan pandangan pihaknya berkaitan isu itu yang dilaporkan tanpa fakta benar seperti disiarkan sebuah portal berita negara jiran berkenaan.

Menurutnya, perbincangan de­ngan pihak perundangan kementerian itu dan Kementerian Luar akan dijalankan dalam usaha menangani isu berkenaan, sekali gus menghantar surat rasmi dengan segera kepada Singapura.

“Surat kepada kerajaan Singapura itu bagi menyatakan perasaan dan pandangan kita terhadap perkara tersebut. Kita akan bincang dengan pihak perunda­ngan kementerian dan Kementerian Luar bagaimana mahu menangani isu berkenaan.

“Jadi, isu kita mengabaikan proses pemberian rawatan kerana isu bayaran... perkara itu perlu diperbetulkan,” katanya selepas majlis peletakan batu asas pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nyior di Sri Lalang di sini hari ini.

Subramaniam yang juga Presiden MIC merujuk laporan The Independent yang mendakwa ambulans Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru lewat memberikan maklum balas sehingga 30 minit terhadap laporan kemalangan melibatkan seorang rakyat Singapura pada 25 Ogos lepas.

Kelewatan itu, dakwa artikel berkenaan, menjejaskan usaha membawa mangsa, Justinian Tan, 25, dan rakannya, Brandon Yeo, 24, mendapatkan rawatan di hospital dengan segera, selain HSA turut menuntut sejumlah wang deposit sebelum membenarkan sebarang rawatan diberikan.

Dalam pada itu, Subramaniam yang mengutuk perbuatan tidak bertanggungjawab portal tersebut dengan menyiarkan laporan tidak berasas, sekali gus akan mencadangkan permohonan maaf dibuat menerusi surat rasmi yang akan dihantar.

“Perkara pokoknya, ambulans sudah dihantar serta-merta. Tu­duhan menyatakan kakitangan hospital enggan membuat rawatan jika bayaran tidak dibuat juga tidak berasas berikutan rawatan kecemasan sudah diberikan kepada mangsa sebelum ketibaan waris dan ahli keluarga dari Singapura,” katanya.