Beliau yang bersara awal pada 2010 dengan jawatan terakhir tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor, Terengganu menerima penghargaan dalam bentuk wang tunai RM45,000 sumbangan Yayasan Tun Hussein Onn dan Bank Islam, plak, pingat dan sijil penganugerahan.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dengan disaksikan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Semin.

Hamzah menyatakan sangat terharu dengan pengiktirafan yang diberikan itu memandang­kan beliau merupakan tokoh guru pertama yang dipilih bukan daripada kalangan pengarah atau pegawai kanan kementerian.

“Saya sangat terharu, bersyu­kur dan bangga kerana pertama kali guru bilik darjah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan kerana biasanya yang dipilih ialah di peringkat pengarah dan ke­pemimpinan.

“Saya mewakili guru dalam kelas rasa sangat teruja dengan pemilihan ini, saya juga ingin memberitahu bahawa apa jua dasar kerajaan atau secantik mana sekali pun kalau guru tidak mampu laksanakannya maka sistem itu akan gagal,” katanya kepada pemberita.

Hamzah pernah menerima Anugerah Inovatif Kementerian Pendidikan pada 2001 di sam­ping memenangi kategori Guru Inovatif Terengganu selama tujuh kali sejak 1993.

Pemilihan Hamzah berdasarkan sumbangannya dalam memperkasakan mata pelajaran Sains termasuk penghasilan Kaedah Pecutan Kognitif Sains yang diguna pakai sehingga kini oleh pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Selain itu, beliau turut menghasilkan modul Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) bagi menterjemahkan pelbagai teori dan cadangan pengajaran kepada amalan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada murid-murid.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof pula dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2018 di atas jasanya sepanjang menjawat jawatan tersebut selama tiga tahun bermula 2013.

Sementara itu, Anugerah Ikon Guru Inovatif Kebangsaan disampaikan kepada Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim, Melaka, Jasmi Amin; Guru SMK Ayer Baloi, Johor, Haslena Abdul Aziz (Guru Cemerlang Pendidikan Khas); Guru SMK Padang Pak Amat, Kelantan, Mazlina Mohd. (Guru Cemerlang Orang Kurang Upaya) dan Guru Sekolah Kebangsaan Pos Musoh LZ, Perak, Azman Abdul Manaf (Guru Cemerlang Pendidikan Alternatif).

Selain itu, Guru Sekolah Kebangsaan Kubu, Melaka, Nor­hisham Jasmi dan Guru SMK Seremban2, Khairda Kamat ma­sing-masing dinobatkan sebagai johan Guru Inovatif bagi Kategori Individu Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Bagi Anugerah Ikon Guru pula diberikan kepada empat orang guru iaitu Guru SMK Methodist, Sibu, Sarawak, Yew Ko Woo; Guru Sekolah Sukan Bukit Jalil, Mohamad Sukri Abdul Mutalib; Guru SMK Bintulu, Sarawak, Ling Sim Hie dan Guru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat, Johor, Ismadi Mohd. Arsad.