Oleh kerana wang hantaran tidak cukup, dia hampir-hampir menceraikan isteri yang baru dinikahi kira-kira sebulan.

Eksekutif yang mahu dikenali sebagai Amir ini mengakui kepada Utusan Malaysia Sabtu, kerana hilang sabar, dia hampir melafazkan talak kepada isterinya selepas sebulan bernikah. Ketika itu, mereka sedang merancang mengadakan majlis persandingan.

Wang hantaran ditetapkan sebanyak RM15,000. Namun, Amir memberi pendahuluan kepada keluarga sebelah isterinya sebanyak RM10,000 manakala bakinya akan dibayar kemudian.

Bagaimanapun, akibat kesuntukan masa, keluarga sebelah isterinya mendesak dia membayar baki wang hantaran itu secepat mungkin. Ketika itu, Amir memberitahu, dia sudah buntu untuk mendapatkan wang RM5,000 itu.

“Keluarga saya mahu membantu, namun perlu menunggu suatu waktu untuk mendapatkan wang sebanyak itu. Sementara keluarga mertua saya pula, tidak mahu menunggu lama. Desakan demi desakan datang kepada saya sehingga saya buntu dan hilang sabar.

“Mujur saya belum sempat melafazkan talak kepada isteri. Ketika itu saya benar-benar hilang sabar,” katanya.

Apa yang berlaku itu dijelaskan kepada kedua-dua belah keluarga dan akhirnya keluarga sebelah isterinya memahami dan sanggup menunggu untuk mendapatkan baki wang hantaran itu.

Peristiwa itu membuka mata kedua-dua belah keluarga dan berusaha untuk memulihkan tali silaturahim.

“Saya akui jumlah wang hantaran sebanyak itu agak tinggi, namun kos sekarang memang tinggi untuk mengadakan kenduri. Faktor itu juga perlu diambil kira,” katanya.