Ketua Bidang Kuasa Politik Hamas di Palestin, Ismail Haniyeh berkata, pihaknya menyambut baik keputusan tersebut selain menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan Malaysia terhadap negara-negara Islam seperti Palestin.

Katanya, pendirian Malaysia yang dianggap mulia itu mencerminkan keteguhan terhadap pegangan dalam memperjuangkan usaha pembebasan dan kemerdekaan rakyat Palestin.

“Sesungguhnya menjadi satu kebanggan dan kegembiraan buat kami dalam gerakan Hamas untuk menyampaikan setinggi-tinggi ucapan terima kasih Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas sokongan ini.

“Pendirian teguh Malaysia untuk terus melarang kemasukan mana-mana duta Israel juga merupakan suatu usaha yang mendokong perjuangan rakyat Palestin dan keputusan itu telah menyejutkan dada kami semua,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Dr. Mahathir berkata, sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.

Ismail berkata, gelombang normalisasi yang digerakkan Israel juga berupaya meningkatkan pengaruh politiknya dalam usaha menjadikan Palestin sebagai ibu negaranya.

“Kami berharap agar rakyat Malaysia terus menolak amalan normalisasi menerusi kekejaman dan keganasan yang dilakukan Israel terhadap bumi dan rakyat Palestin,” katanya. - UTUSAN ONLINE