Hamas berkata, kenyataan tegas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempersilakan Israel mencuba sekiranya mahu menarik semula hak penganjuran kejohanan itu dari Malaysia menunjukkan negara ini tidak goyah dengan kedudukannya menyokong hak rakyat Palestin untuk mempertahan dan membebaskan tanah mereka, terutamanya bandar Baitulmuqaddis yang kini diduduki Israel.

“Pergerakan Hamas menyanjung keputusan Malaysia yang memaparkan pendirian tegas negara itu menentang segala usaha melazimkan hubungan dengan kependudukan Israel.

“Hamas memuji Malaysia atas keputusan ini dan berharap negara-negara Islam dan Arab dapat menghentikan pelaziman hubungan dengan kependudukan Israel yang merupakan satu tindakan menikam rakyat Palestin dari belakang,” kata pergerakan itu dalam kenyataan di sini kelmarin.

Tambah pergerakan itu lagi, tindakan melazimkan hubungan dengan kependudukan Israel menyebabkan rakyat Palestin hilang hak untuk kebebasan dan keamanan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa ­Olimpik Israel, Nisim Sasportas memberitahu portal berita Ynet news.com beliau akan memberikan tekanan berterusan kepada Malaysia bagi membolehkan atlet negara itu beraksi dalam kejohanan di Kuching.

Sasportas turut menegaskan, mereka mempunyai surat soko­ngan daripada Jawatankuasa Pa­ralimpik Antarabangsa, Jawatankuasa Paralimpik Eropah dan Jawatankuasa Olimpik Atlet bagi membenarkan atlet Israel serta pegawai keselamatan mereka mengiringi penyertaan kontinjen dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

Dr. Mahathir selepas itu menyatakan kerajaan akan tetap dengan pendiriannya dan sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.

Kejohanan Renang Para Dunia 2019 akan berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos depan. - UTUSAN ONLINE